Pages

10 September 2009

Tazkirah - Beriktikaf di hujung Ramadan

RAMADAN merupakan bulan iktikaf. Pada umumnya, iktikaf adalah sunah daripada amalan Rasulullah saw dan ia dianggap 'sunah muakadah' khususnya pada 10 hari terakhir.
Justeru, apabila tiba hari-hari tersebut, Rasulullah amat mengambil berat dan sentiasa beriktikaf bersama keluarganya.
Ini bermaksud seorang Mukmin itu harus bertanggungjawab terhadap keluarganya dalam usaha membimbing mereka mengerjakan amal ibadat yang dapat menghampirkan diri kepada Allah swt.
Beriktikaf pada 10 hari terakhir amat digalakkan kerana pada hari-hari itu terdapat Lailatulqadar - malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Ia merupakan malam yang dimuliakan Allah sempena turunnya Al-Quran.
Pada malam itu juga dengan izin Allah, para malaikat bersama Jibrail turun dari Sidratulmuntaha ke bumi untuk bertemu dengan orang-orang yang sedang beriktikaf, bersolat, bertasbih, bertahmid dan bertakbir sambil memohon kebaikan kepada Allah.
Kemudian para malaikat memohon kepada Allah agar diperkenankan doa orang- orang yang beriktikaf itu.
Doa paling afdal ialah doa Rasulullah:
'Ya Allah, ya Tuhanku, Engkaulah Pengampun (yang amat suka kepada pengampunan), maka ampunilah daku.'
Pada malam yang mulia itu, seorang Mukmin tidak memohon kepada Tuhannya harta, anak-pinak ataupun apa jua kemewahan yang wujud di dunia ini, tetapi ia memohon pengampunan daripada Tuhannya.
Bulan Ramadan juga bulan perpaduan kemasyarakatan dalam amalan sedekah fitrah kerana ia dapat menyucikan jiwa orang yang berpuasa.
Dengan bersedekah, seseorang akan dapat merasakan betapa beratnya tanggungjawab dalam kehidupan kerana ia dituntut menunaikannya bagi diri dan keluarga termasuklah kedua-dua ibu bapanya sebelum solat Raya bermula.
Rahsia di sebalik ini semata-mata untuk menjaga mereka dalam pendidikan dan peradaban, malah memandu tatasusila kekeluargaan ke jalan yang diredai Allah.
Perpaduan masyarakat bukan saja tertakluk atas pemberian orang yang berkemampuan kepada orang yang berhajat. Malah, ia juga dituntut sesama mereka yang berkebolehan dalam membantu antara satu sama lain.

****
Nota kaki:
aku masih mencari malam Lailatul Qadar

No comments: